3 pilihan untuk Harimau Muda
KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang menimbangkan tiga pilihan sebelum menentukan pendekatan latihan yang akan dijalani skuad Harimau Muda A.
Timbalan Menterinya, Datuk Razali Ibrahim berkata, pilihan pertama adalah kembali menjalani kem latihan sepenuh masa di Slovakia, di mana pasukan muda negara itu berpeluang beraksi dalam 12 perlawanan berkualiti dengan kelab-kelab divisyen satu Slovakia.
Malah, seandainya pilihan pertama dipersetujui, pasukan Harimau Muda juga dijadual mengadakan empat perlawanan persahabatan antarabangsa dengan negara-negara jiran Slovakia.
Pilihan kedua yang berada dalam pertimbangan KBS dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) adalah menjalani latihan bersama Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) dan Kelab Bola Sepak Cardiff City di England.
Persetujuan Korea untuk memberikan tempat kepada skuad muda Malaysia menjalani latihan di negara itu dicapai Razali dalam kunjungannya ke ibu pejabat KFA semalam. Malah, beliau dan delegasi Malaysia, yang turut dianggotai Setiausaha Agong FAM, Datuk Azzudin Ahmad juga telah meninjau kemudahan yang disediakan di Akademi Bola Sepak Kebangsaan Korea di Poju.
Sementara itu, pilihan ketiga dan terakhir pula adalah mengadakan beberapa sesi latihan di luar negara.
Menurut Razali, ketiga-tiga pendekatan ini melibatkan kos yang hampir sama, namun keberkesanannya menjadi pertimbangan utama KBS dan FAM dalam membuat keputusan.
Katanya, misi yang bakal dipikul skuad Harimau Muda adalah besar, mempertahankan pingat emas Sukan SEA pada temasya 2011 di Indonesia. Penyertaan di Sukan Asia pula akan menjadi penanda aras kemampuan skuad bola sepak Malaysia.
“Keputusan akhir mengenai masa depan Harimau Muda bagaimanapun hanya akan ditentukan selepas 31 Julai ini, iaitu selepas tamat kongres FAM,” kata Razali dalam satu kenyataan semalam.
Baru-baru ini, jurulatih skuad Harimau Muda A, Ong Kim Swee berkata, beliau mahu pasukan bimbingannya itu kembali mendapat pendedahan di Slovakia, tahun ini.
Kata Kim Swee, hanya dengan berlatih di Slovakia akan memberikan pemain pelapis Malaysia pengalaman dan pembelajaran berterusan dengan corak bola sepak Eropah.
sumber Utusan Malaysia
No Comments »
No comments yet.
RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

