pay per click Aksi Selangor – Kelantan Pada 10 Julai | Malaysia League 0n9


Aksi Selangor – Kelantan Pada 10 Julai

Posted by nazurinu | Malaysia League | Monday 5 July 2010 12:46 am

KOTA BHARU – Aksi pertembungan dramatik diantara pendahulu liga, Selangor dengan pencabar terdekatnya, Kelantan di Stadium Shah Alam yang sepatutnya dilangsungkan pada 13 Julai ini dipinda pada 10 Julai ini.

Penolong Setiausaha Agung Kafa, Arif Hassan berkata, perubahan tarikh itu memberi kelebihan kepada penyokong Kelantan yang ingin bertandang ke Shah Alam pada 10 Julai nanti.

“Perlawanan ini merupakan satu pertembungan yang menarik bagi kedua-dua pasukan, jadi ribuan penyokong kedua-dua pasukan dijangka memenuhi Stadium Shah Alam nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Perlawanan ini juga bakal menentukan perjuangan Kelantan dalam pemburuan kejuaraan sulung liga musim ini. Sama ada sedar atau tidak, Kelantan mesti menang ke atas Selangor bagi merapatkan jurang perbezaan mata.

“Perubahan tarikh baru itu ternyata memberi kelegaan kepada ribuan penyokong setia The Red Warriors yang berada di Lembah Kelang kerana perlawanan tersebut akan  dilangsungkan pada malam minggu berbanding jadual sebelum ini dilangsungkan pada hari bekerja,” katanya.

Sementara itu, perubahan tarikh baru itu juga turut memberi rahmat kepada penyokong setia merah putih di negeri ini yang dapat menganjurkan rombongan penyokong ke Shah Alam.

Dijangkakan puluhan buah bas akan berarak menuju Shah Alam, sesuatu yang tidak menghairankan seperti mana tahun lalu dimana hampir 20,000 penyokong setia Kelantan membanjiri Stadium Shah Alam itu.

Bukan sahaja bas, malahan ratusan kenderaan persendirian dari seluruh pelusuk daerah di negeri ini dijangka turut mengadakan rombongan ke Shah Alam nanti.

Rekod pertemuan Kelantan di Stadium Shah Alam tidak begitu memberangsangkan. Pada perlawanan musim lalu, Kelantan tewas 0-3 kepada The Red Giants sebelum aksi timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil berkesudahan seri 1-1.

Sementara rekod pertemuan Kelantan dengan Selangor musim ini, menyaksikan kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan pada perlawanan 13 Mac lalu.

Ini adalah peluang terbaik untuk Kelantan menamatkan badi kekalahan setiap kali beraksi di Stadium Shah Alam.

Ditulis oleh Sinar Harian

1 Comment »

  1. Comment by Rizal — July 5, 2010 @ 2:20 pm

    kompom best lar pertembungan dua gergasi bolasepak malaysia niy..red giant vs red warrior..

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a comment

soccerine Wordpress Theme