UsahawanRemaja.Com | Usahawan Remaja | Usahawan

‘Buat pertimbangan sewajarnya’

Posted by admin | Malaysia Team | Sunday 16 September 2012 7:32 pm

TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, pelawaan yang diterima oleh skuad Harimau Muda untuk beraksi dalam Liga Brazil merupakan satu petanda baik.

Justeru, Tengku Abdullah menjelaskan bahawa FAM perlu memberi pertimbangan sewajarnya terhadap tawaran tersebut.

“Peluang seperti ini perlu dikaji lebih teliti, jangan cepat melompat dan pemain-pemain juga harus mempunyai sikap positif supaya dapat digunakan dengan sebaik mungkin.

“Bukan sahaja di Brazil, malah negara-negara lain juga akan menjemput kita dari semasa ke semasa,” titah baginda semasa ditemui pemberita di Bandar Indera Mahkota, Kuantan semalam.

Akhbar tempatan baru-baru ini melaporkan, skuad Harimau Muda di bawah kendalian Ong Kim Swee berpeluang untuk menyertai Liga Brazil sebagai persiapan awal mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar.

Namun difahamkan, perkara tersebut masih dalam perbincangan dan kata putus belum dapat diberikan oleh FAM dalam usaha memberikan pendedahan terbaik buat skuad muda negara itu.

Mengulas lanjut, Tengku Abdullah menegaskan, FAM perlu mengkaji dengan lebih mendalam baik buruk tindakan itu dan tidak memberikan persetujuan secara melulu.

“Ia dapat memberi kita pendedahan perlawanan dan tunjuk ajar yang luas kepada pemain muda.

“Saya hendak nyatakan di sini, bukan sahaja Malaysia tetapi banyak juga negara-negara ASEAN dipelawa bermain di tempat ini. Kalau kita tidak ambil perhatian kita akan kerugian,” titahnya.

Mengulas mengenai kekalahan skuad Harimau Malaya kepada Vietnam baru-baru ini, baginda meminta ia dijadikan satu pengajaran.

Menurut Tengku Abdullah, semua pihak yang terlibat harus membantu jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal mengenal pasti pemain untuk beraksi dalam skuad utama negara pada kempen Piala AFF Suzuki yang dijadualkan berlangsung November depan.

“Difahamkan, Rajagobal sudah ketengahkan pemain baharu dan saya harap dalam masa terdekat, dia sudah kenal pasti 11 atau 15 orang pemain. Ini supaya dia tidak ragu-ragu dengan pemain utama dalam pasukan.

“Kekalahan itu saya rasa tidak perlu kita risau. Bila buat persiapan mesti ada kalah mesti ada menang.

“Saya harap ia menjadi iktibar, pengajaran dan satu permainan yang membolehkan dia mengenal pasti kelemahan-kelemahan dalam pasukan dan pemain.

“Kata putus bagi memilih pemain utama negara adalah di tangan Rajagobal dan hanya dia mengetahui pemain terbaik untuk beraksi dalam pasukannya,” titahnya.

Oleh HAFIZ ABBAS
mohdhafiz.abbas@kosmo.com.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No Comments »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a comment

soccerine Wordpress Theme