Cruyff pilih Iskandar Malaysia tubuh JCI
Malaysia bakal menjadi destinasi baru dalam pembangunan sukan di rantau Asia, apabila legenda bola sepak Belanda, Johan Cruyff, memilih Iskandar Malaysia sebagai lokasi pembukaan Institut Johan Cruyff (JCI) Malaysia.
Usaha itu bakal direalisasikan sempena lawatan lagenda bola sepak terbabit ke Iskandar Malaysia pada 4 September ini, yang menyaksikan JCI bekerjasama dengan sebuah anak syarikat Iskandar Investment Berhad (IIB). Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, berkata JCI Malaysia akan memberi tumpuan dalam bidang pembangunan serta pengurusan sukan yang bertaraf antarabangsa.
“Menerusi kerjasama yang bakal dijalin, JCI Malaysia akan diwujudkan di Educity, Nusajaya, sekali gus akan menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di Asia mempunyai pusat pembangunan dan pengurusan sukan berkelas dunia.
“JCI Malaysia akan menjadi pusat pengajian tinggi pertama di negara ini yang memberi fokus dalam bidang sukan. Ini kerana ia juga akan menawarkan pelbagai kursus dalam beberapa bidang sukan di samping turut menyediakan beberapa kemudahan seperti stadium dan pusat sukan bertaraf dunia.
“Selaku institusi pengajian tinggi, JCI Malaysia akan menawarkan pelbagai program bermula di peringkat sijil sehinggalah sarjana dalam bidang pengurusan sukan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Syed Mohamed berkata, penubuhan JCI Malaysia ini juga secara tidak langsung akan menyumbang kepada usaha melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang sama ada di bidang sukan mahu pun akademik kelak.
“Sempena kunjungan Johan Cruyff ke negara ini juga, sebuah pusat sukan dikenali sebagai Johan Cruyff Court yang dibina bersebelahan Sekolah Kebangsaan Khir Johari dekat Kampung Majidee, di sini akan dirasmikan beliau sendiri.
“Johan Cruyff Court ini adalah sebuah padang bola sepak yang direka khas dan eksklusif bagi pembangunan sukan bola sepak di kalangan murid dan pelajar sekolah,” katanya.
Berita Harian/Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
No Comments »
No comments yet.
RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

