Kelab Klate.Net minta penyokong jaga imej

Posted by admin | Malaysia Cup | Friday 15 October 2010 7:27 am

KOTA BHARU – Kelab Penyokong Bola Sepak Siber Kelantan (Klate.Net) merayu penyokong-penyokong The Red Warriors yang menyaksikan perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia malam ini, agar tidak menimbulkan masalah sehingga mencetuskan keganasan.

Timbalan Presiden Klate.Net, Nik Mohd. Sallehuddin Nik Abdul Razak berkata, pihaknya menyeru supaya penyokong setia Kelantan yang akan mengunjungi Stadium Sultan Muhammad IV bagi menyaksikan perlawanan tersebut, menjaga tingkah laku masing-masing.

Katanya, penyokong Kelantan juga harus menjaga imej negeri ini dan tidak sewenang-wenangnya bertindak ganas yang boleh mengancam keselamatan penonton lain yang turut hadir.

“Kita amat kesal apa yang berlaku di Shah Alam. Kejadian tersebut tidak seharusnya berlaku, namun, akibat provokasi antara kedua-dua penyokong menyebabkan keadaan menjadi tegang sehingga berlaku insiden sedemikian.

“Para penyokong yang hadir seharusnya menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dengan memberikan sokongan yang sewajarnya kepada pasukan masing-masing dan bukannya melakukan perkara yang tidak sepatutnya sehingga mengganggu fokus pemain,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tambah Nik Mohd. Sallehuddin, apa yang berlaku di Shah Alam tempoh hari hanyalah melibatkan segelintir penyokong Kelantan yang tidak bertanggungjawab sementara yang lain masih lagi mengutamakan semangat kesukanan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Syarikat Yusmira Traiding Sdn. Bhd., Datuk Azlan Muhammad turut menasihatkan para penyokong yang hadir supaya lebih berhemah dan menjaga tingkah laku.

“Saya minta kepada penyokong yang sayangkan bola sepak Kelantan supaya menjaga akhlak semasa menonton perlawanan itu nanti dan kita kena buktikan bahawa penyokong Kelantan adalah bertamadun.

“Penyokong yang hadir ke stadium esok (malam ini) perlu datang dengan lapang dada dan bersedia menerima apa jua keputusan. Ingat sebarang perilaku yang buruk hanya akan ‘membunuh’ masa depan bola sepak kita,” katanya yang merupakan antara penaja utama pasukan bola sepak Kelantan.

sumber Utusan Online

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No Comments »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a comment

soccerine Wordpress Theme