Kemenangan di Sabah boleh jadi pendorong SingaXII

TIADA yang lebih melegakan selain daripada menyaksikan SingaXII meningkatkan persembahan dalam Liga Super Malaysia (Liga-M).
Malah, tiada yang lebih menggembirakan pemain pertahanan senior, Baihakki Khaizan, selain daripada mencatat kemenangan di padang lawan.
‘Ini sedikit sebanyak meningkatkan keyakinan bahawa para pemain sudah mula percaya pada diri masing-masing bagi meneruskan perjuangan dalam liga yang terbaru bagi mereka,’ demikian kata pemain berusia 28 tahun itu.
Menurut Baihakki, kejayaan SingaXII mengatasi Sabah walaupun dengan kemenangan tipis satu gol hasil tandukan Hariss Harun, seharusnya dijadikan pedoman bagi setiap pemain meningkatkan keyakinan masing-masing.
‘Bayangkan perasaan para pemain apabila mereka mencatat kemenangan di padang lawan, terutama pasukan Sabah, salah sebuah pasukan yang dikatakan sukar dihadapi, lebih-lebih lagi mereka beraksi di padang sendiri,’ kata Baihakki.
Pada masa yang sama, Baihakki juga mahu rakan-rakan sepasukannya menimba pengalaman bermain dalam suasana yang sukar seperti di Sabah, tetapi tetap mampu menyerap setiap tekanan.
‘Bermain di padang sendiri dapat meningkatkan semangat setiap pasukan. Seperti juga halnya, kami akan berusaha mati-matian kerana tidak mahu kalah di depan penonton sendiri,’ tambahnya.
Justeru, Baihakki menyeru rakan-rakannya agar sentiasa bertindak dengan fikiran matang apabila menghadapi tekanan seperti di Sabah itu.
‘Ini baru permulaan. Para pemain dapat berasakan suasana yang amat berbeza dan belum pernah dilalui. Ia hampir sama dengan apa yang saya serta Shahril (Ishak) dan Agu (Casmir) alami ketika beraksi dalam Liga Indonesia.
‘Para pemain tuan rumah akan bertindak garang kerana mereka akan berusaha untuk mengelakkan daripada mengalami kekalahan. Jadi, kami perlu bertindak lebih bijak mengatasi tekanan tersebut,’ kata Baihakki lagi.
Antara persiapan terbaik menghadapi suasana pertandingan seperti itu ialah meningkatkan tahap ketahanan dan fizikal, selain daripada berusaha meningkatkan ketahanan mental dan jangan ikutkan perasaan.
‘Segala tindak tanduk kami akan hanya mengundang masalah jika salah perkiraan,’ Baihakki mengingatkan lagi.
Pemain bakal menjadi sasaran pemain lawan, menjadi kemarahan penonton, dan tentunya akan mengundang masalah ke atas rakan-rakan sendiri, terutama jika dilayangkan kad merah.
‘Dalam lapangan bola sepak, keadaan ini semuanya lumrah dan harus dilalui dan yang lebih penting ialah kami harus menanganinya dengan bijak,’ nasihat pemain itu lagi.
Baihakki juga gembira kerana rakan-rakan SingaXII sudah mula mendapat keserasian bermain secara bersama dan mengetahui corak permainan lawan yang rata-rata bermain dengan gaya pantas dan fizikal.
‘Para pemain di Indonesia juga memiliki corak permainan yang serupa tetapi dari segi kemahiran, para pemain Malaysia boleh saya katakan berada sedikit di atas pemain Liga Indonesia. Tetapi yang jelas, kami tidak boleh leka,’ katanya.
Kehadiran semula rakan pertahanannya, Safuwan Baharudin, daripada digantung satu perlawanan kerana kad merah ketika menentang Kuala Lumpur ditambah kemungkinan Saiful Esah kembali ke gelanggang selepas kecederaan sewaktu latihan pramusim, turut meningkatkan lagi keyakinan Baihakki mengenai keupayaan pasukan SingaXII.
SingaXII akan berdepan Terengganu Sabtu ini. Terengganu adalah antara pasukan yang sukar diatasi memandangkan kepada kedudukan mereka yang kini di tangga kedua Liga-M.
Oleh Mohd Sani Ali
Cyberita Online
No Comments »
No comments yet.
RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

