Rayu aksi Liga Slovakia
![]() |
|
Pemain skuad Harimau Muda dapat menajamkan skil dan meningkatkan keupayaan stamina jika berdepan pemain Eropah dalam Liga Slovakia.
|
PETALING JAYA – Jurulatih baru Harimau Muda A, Ong Kim Swee berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menghantar skuadnya beraksi di Liga Divisyen Satu Slovakia, demi pendedahan kepada pemain muda negara.
Menurut Kim Swee, jalan itu paling baik sebagai usaha pembelajaran kepada pemain muda Malaysia berbanding sekadar bermain di tempat sendiri.
”Di sana, mereka boleh menajamkan skil dan meningkatkan keupayaan stamina jika berhadapan pemain-pemain Eropah yang fizikalnya lebih besar dan berstamina tinggi.
”Namun, itu semua terpulang kepada keputusan FAM tetapi saya memang berharap skuad Harimau Muda A nanti akan dibawa ke sana sekali lagi, kerana itu adalah jalan terbaik jika mengikut pertimbangan saya,” katanya.
Dia berkata demikian selepas perlawanan Liga Perdana antara PKNS dan Harimau Muda di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), Jumaat lalu.
Sebelum ini, Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad memberitahu, pihaknya masih belum dapat memberikan keputusan muktamad mengenai aksi di Slovakia selepas mendapat undangan daripada badan induk bola sepak negara itu.
Katanya, masih ada beberapa perkara yang perlu diteliti dan dibincangkan sebelum memutuskan mengenai masa depan Harimau Muda, biarpun mengakui mereka berpotensi besar apabila beraksi di Slovakia.
Selain itu, Kim Swee menambah, beliau akan menyerapkan antara empat ke lima pemain dari skuad Harimau Muda B ke dalam pasukan Harimau Muda A.
”Pemain-pemain itu sudah ada dalam pertimbangan saya dan kedudukan sebenar mereka saya akan putuskan dalam masa terdekat ini,” katanya.
Mengenai isu penarikan diri tiga pemain Harimau Muda, Kim Swee mengulas keputusan itu adalah di luar kawalannya.
”Mereka bertiga iaitu, Saiful Ridzuan Selamat, Mohd. Alif Fadhil dan Muhd. Nursalam mendapat tawaran belajar ke UiTM (Universiti Teknologi Mara) dan saya tidak boleh memaksa mereka dalam menentukan masa depan sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas secara keseluruhan prestasi Harimau Muda B di dalam Liga Perdana pada musim ini, beliau menganggap banyak kejayaan dicapai oleh anak-anak buahnya terutama dalam aspek taktikal.
”Walaupun sekadar di tempat kelima, saya anggap mereka banyak mengutip pengalaman berharga kerana mereka semua masih dalam proses pembelajaran.
”Saya yakin pada musim depan, mereka akan bertambah matang dan memberikan cabaran dalam kejuaraan Liga Perdana,” ujarnya.
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
No Comments »
No comments yet.
RSS feed for comments on this post. TrackBack URI








