UsahawanRemaja.Com | Usahawan Remaja | Usahawan

SPRM terus siasat skuad Penyu

Posted by admin | Malaysia Team | Monday 10 September 2012 6:58 pm

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa orang lagi pemain Terengganu dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menjual perlawanan.

Sebelum ini, lapan individu telah diambil keterangan termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh dan penjaga gol utamanya, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli.

Selain itu, jurulatih pasukan, Peter Butler turut memberi keterangan berhubung isu berkenaan yang membabitkan perlawanan Piala Malaysia antara Terengganu dengan Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, 1 September lalu.

Pengarah SPRM negeri, Md. Yusoff Md. Zain berkata, pada 4 dan 5 September lalu, selain tiga individu itu, dua lagi pemain dan selebihnya pihak pengurusan telah dipanggil bagi membantu siasatan.

“Buat masa ini, saya tidak boleh memberi ulasan lanjut mengenai perkara ini kerana ia masih dalam proses siasatan. Bagaimanapun sekiranya perlu, kita akan panggil semula mereka dan beberapa pemain lain untuk membantu siasatan.

“Kita jalankan siasatan bukan untuk mencari kesalahan tetapi untuk mencari kebenaran, siasatan sentiasa berjalan dan diteruskan,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Jabatan Imigresen Negeri Terengganu di Wisma Persekutuan, Kuala Terengganu semalam.

Jelasnya, kertas siasatan masih dibuka tetapi belum ada sebarang perkembangan mengenainya namun proses siasatan tetap diteruskan.

Kem Terengganu mula diselubungi isu berkenaan apabila dua pemain tonggak, Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi dikatakan mempunyai masalah disiplin dan disingkir Butler daripada pasukan itu.

Belum reda dengan isu itu, sekali lagi kem Terengganu goyah dengan dakwaan menjual perlawanan akibat tindakan Sharbinee yang dikatakan melepaskan gol mudah dan menyaksikan pasukan itu sekadar seri 1-1 dengan Kedah.

Kes kemudiannya disiasat SPRM dan PBSNT menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyelesaikan masalah itu sebelum musim baru bermula selepas pasukan itu terlepas peluang untuk mara ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Oleh MANIRAH OTHMAN
manirah.othman@kosmo.com.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No Comments »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a comment

soccerine Wordpress Theme